UEC tidak selari Perlembagaan, tergelincir daripada semangat pendidikan kebangsa

  • Reporter
  • Topic Author
  • Offline
  • Moderator
More
4 hours 45 minutes ago - 4 hours 37 minutes ago #32 by Reporter
DAP mula menyemarak kembali sentimen kontroversi dengan mendesak supaya kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). UEC adalah peperiksaan dianjurkan Dong Zong sejak 1975, dilaksanakan di 60 sekolah menengah persendirian Cina, bahasa pengantarnya Mandarin dan kurikulumnya berbeza daripada kurikulum kebangsaan.

Persoalan sering dikelirukan, mengapa kerajaan tidak boleh mengiktiraf UEC? Jawapannya mudah, dari sudut kerangka undang-undang Malaysia, UEC tidak setaraf Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). SPM adalah peperiksaan kebangsaan diwajibkan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) dengan syarat wajib lulus subjek Bahasa Melayu dan Sejarah serta syarat asas kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan perkhidmatan awam.

Jika pengecualian diberikan kepada UEC, ia melanggar Akta Pendidikan, sekali gus membuka ruang ketidakadilan kepada calon daripada sistem lain. Hakikatnya, polemik UEC ini tidak pernah selesai kerana ada pihak enggan menerima asas sistem pendidikan negara seperti termaktub dalam Perlembagaan. Sebagai negara majmuk, Malaysia memerlukan satu landasan pendidikan nasional tunggal yang utuh untuk mengikat perpaduan rakyat, bukan sistem berbeza yang melunturkan semangat kebangsaan.

Perkara 152 Perlembagaan jelas menegaskan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa penyatuan. Perkara 153 pula menegaskan tanggungjawab negara memelihara kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera, di samping menjamin kepentingan sah kaum lain.

Kedua-duanya menjadi tiang seri dalam membangunkan sistem pendidikan. Maka, sebarang tuntutan pengiktirafan mesti dilihat dalam kerangka Perlembagaan dan Akta Pendidikan, bukan berdasarkan tekanan politik atau tuntutan mana-mana kumpulan. Kerajaan tidak pernah menghalang kewujudan UEC, bahkan sesiapa mahu belajar dalam sistem itu bebas berbuat demikian. Namun, isu timbul apabila kelayakan UEC dituntut untuk disetarakan dengan kelayakan kebangsaan. Kerajaan sudah menjelaskan pendiriannya yang pengiktirafan tidak boleh diberikan selagi UEC tidak memenuhi prinsip teras sistem pendidikan negara.

Ada beberapa risiko perlu diambil kira jika UEC diiktiraf kerajaan, iaitu membuka ruang kepada kaum lain menuntut sistem pendidikan masing-masing, meningkatkan polarisasi kaum, menjejaskan matlamat perpaduan, bercanggah prinsip Rukun Negara, khasnya 'Keluhuran Perlembagaan'. Sistem pendidikan tidak boleh menjadi medan pemisahan generasi pelbagai kaum dan budaya kerana akhirnya hanya mewujudkan jurang sosial lebih lebar dan dalam. Bermakna, UEC boleh wujud, tetapi sebagai sistem alternatif.

Universiti di dalam dan luar negara menerima kelayakannya bagi tujuan kemasukan, tetapi itu tidak menjadikannya setara dengan sistem pendidikan kebangsaan. Pengiktirafan nasional bukan soal 'boleh belajar' semata-mata, tetapi apakah kurikulumnya mencerminkan identiti Malaysia dengan berpaksikan semangat Perlembagaan dan kedaulatan tanah air? Dalam hal ini, kerajaan tidak boleh diugut dengan sentimen politik. Tuntutan pengiktirafan perlu rasional, bukan memaksa negara mengalah dengan prinsip asasnya. Ia bukan sekadar soal memelihara keluhuran Perlembagaan, tetapi akur dengan prinsip 'di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung'.

Last edit: 4 hours 37 minutes ago by Reporter. Reason: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/12/1484555/uec-tidak-selari-perlembagaan-tergelincir-daripada-semangat

Please Log in or Create an account to join the conversation.

Visitor Statistics

  • Today 375
  • Yesterday 534
  • This Week 2650
  • Last Week 5018
  • This Month 7668
  • Last Month 16007