Isu UEC: 'Baca, faham dan hadam terlebih dahulu Akta 550...' - Mahdzir

  • Reporter
  • Topic Author
  • Offline
  • Moderator
More
4 hours 36 minutes ago - 4 hours 36 minutes ago #34 by Reporter
KUALA LUMPUR: Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) jelas bertentangan dengan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) selain tidak selari dengan Dasar Pendidikan Nasional (DPN), demikian tegas bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata, UEC juga tidak berpaksikan kepada teras Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang digariskan dalam Akta 550.

"Bagi saya, pihak-pihak yang mendesak kerajaan supaya mengiktiraf UEC ini perlulah baca, faham dan hadam terlebih dahulu Akta 550 itu sebelum membuat sebarang tuntutan.

"Itu adalah perkara asas untuk bercakap berkaitan sesuatu perkara dalam konsep hidup dalam sebuah negara di mana kita perlu meletakkan asas kenegaraan itu sebagai perkara pokok.

"Kita jangan hanya tahu nak bercakap semua perkara, tetapi tidak memahami perkara asas kepada topik atau isu yang dibangkitkan itu", katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan, sebarang tuntutan yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum perlu mengambil kira kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan.

Tegasnya, kerajaan akan terus mempertahan dan mendukung prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan berhubung kedudukan bahasa Melayu.

Tambah Anwar, usaha yang sepatutnya dilakukan adalah memartabatkan penggunaan bahasa Melayu bagi menjadikannya bahasa ilmu yang dikuasai semua pihak di negara ini.

Sebelum itu, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dengan tuntutan DAP berkait UEC.

Dalam pada itu, Mahdzir menegaskan, pihak-pihak yang sering dan berterusan mendesak supaya UEC diiktiraf perlu lebih matang dan tidak semberono membuat apa-apa tuntutan yang tidak selari dengan apa-apa akta di negara ini.

"Saya minta semua pemimpin-pemimpin politik daripada DAP dan juga pejuang-pejuang UEC supaya menghormati Akta 550 dan mengutamakan kepentingan nasional, khususnya dalam memartabatkan pendidikan negara," katanya.

Mahdzir yang juga Pengerusi UMNO Kedah berkata, isu pengiktirafan UEC tidak sepatutnya dibangkitkan lagi jika pejuang-pejuang UEC menghormati semua akta yang termaktub secara terang dan jelas.

"Saya nak bertanya, apa keperluan yang sangat mendesak bagi UEC untuk diiktiraf sedangkan sijil-sijil lain yang bertaraf antarabangsa seperti O-Level dan IGCSE sudah sedia ada dan diiktiraf oleh kerajaan sejak sekian lama di negara kita," soalnya.

Katanya, semua pihak tahu bahawa UEC tidak selari dengan dasar pendidikan kebangsaan kerana ada komponennya yang tidak sepadan, terutama dari segi kandungan silibus subjek Sejarah yang berfokus kepada sejarah China dan Asia Timur.

"Ia bukan silibus sejarah Malaysia mengikut standard Kementerian Pendidikan (KPM)," katanya menambah UEC juga tidak menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar, sebaliknya Mandarin.

Selain itu, katanya, UEC tidak dipantau atau diseragamkan oleh KPM seperti sekolah-sekolah swasta yang lain.

"Bagaimana kerajaan nak mengiktiraf UEC jika semua itu tidak selari dan melanggar Akta 550? Apa justifikasinya kalau kerajaan nak iktiraf? Jangan kerana hanya mahu meraih laba politik, UEC terus dijadikan modal."

"Cukup sekadar UEC itu dilaksana secara bersendirian atas dasar sekadar ada dan tidak diusik oleh pihak lain. Jangan sampai ia diharamkan terus kalau sudah menjadi barah yang merosakkan keharmonian dan perpaduan rakyat di negara ini," tegasnya.

Last edit: 4 hours 36 minutes ago by Reporter. Reason: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2025/12/1484550/isu-uec-baca-faham-dan-hadam-terlebih-dahulu-akta-550-mahdzir

Please Log in or Create an account to join the conversation.

Visitor Statistics

  • Today 375
  • Yesterday 534
  • This Week 2650
  • Last Week 5018
  • This Month 7668
  • Last Month 16007